Projek Untuk Mengatasi Masalah Banjir Di Debak Akan Dimulakan Dalam Masa Terdekat

SELASA, 12 APRIL 2022

BETONG: Projek bagi menangani masalah banjir di Debak bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Penyerahan tender bagi projek pembinaan terusan di Kampung Melayu Debak hari ini telah disaksikan oleh ADUN N.35 Saribas, Mohammad Razi Sitam di Bilik Mesyuarat Jabatan Pengairan Dan Saliran Bahagian Betong pada Isnin.

Projek ini dahulunya telah diusul kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bagi mengatasi masalah banjir yang melibatkan Kampung Babu, Kampung Bungey dan Kampung Lalang Debak. 

Premier Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi pembinaan terusan dan penambahbaikan sistem saliran yang baru di Debak. 

Tempoh pelaksanaan projek ialah selama 18 bulan iaitu bermula Mac 2022 sehingga September 2023. 

Akibat daripada kekerapan banjir yang berlaku dalam tempoh setahun, salah satu kaedah yang diperkenalkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran ialah dengan membina satu terusan yang baru bagi mengawal limpahan air yang dari Sungai Rimbas. 

Sehubungan dengan itu, Mohamad Razi turut diberi taklimat oleh pihak kontraktor yang terlibat mengenai skop-skop pembinaan projek dan memperdengarkan cadangan bersama Penolong Pengarah Bahagian Saliran Mesra Alam & Bahagian Pengurusan Banjir untuk membaikpulih ban bagi seluruh kampung di kawasan DUN Saribas.

Dalam masa yang sama, Mohammad Razi turut meminta agar projek ini dibina mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelakkan berlakunya masalah yang lain. 

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Penolong Pengarah Bahagian Saliran Mesra Alam dan Bahagian Pengurusan Banjir, Ir. Jamesy Mijek, Jurutera Pengairan dan Saliran Betong, Bartholomew Emily Ayu, Pegawai Daerah Bahagian Betong, Sofhi Jebal,  Pen. Pegawai Daerah Kecil Debak, Nazari Haji Bujang, Temenggung Haji Piee Bin Alwi dan barisan Ketua Kampung Bungey, Babu & Lalang Debak. -EDISI UKAS

add comment