30 Asnaf Kampung Hijrah Fasa II Terima Sumbangan

RABU, 13 APRIL 2022

SIMUNJAN: Seramai 30 orang golongan asnaf dari Kampung Hijrah Fasa II menerima bubur lambuk dan beras sempena Program Bubur Lambuk Bersama Pemimpin pada Rabu.

Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Hijrah Fasa II itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris di Masjid Daerah Simunjan.

Semasa berucap, Awla memberitahu, sebagai wakil kepada penduduk di kawasan tersebut, beliau sememangnya diamanahkan untuk menyalurkan peruntukan kepada setiap JKKK untuk mengadakan program seumpama itu.

Dalam masa sama katanya, ahli JKKK juga bertanggungjawab untuk membelanjakan peruntukan yang telah disediakan dengan mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti program ilmu, program kejiranan atau bergotong-royong.

Selain mengagihkan bubur lambuk, beliau turut menyampaikan sumbangan daripada persatuan-persatuan dan juga orang perseorangan berupa beras dan keperluan asas yang lain kepada para penerima sempena persediaan menyambut syawal.

Hadir sama di program tersebut, Pengerusi JKKK Kampung Hijrah Fasa II, Dara Khartina Amat; Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Daerah Simunjan, Len Sol; Timbalan Ketua Cawangan Simunjan, Bojeng Ali dan Ketua Pergerakan Pemuda Simunjan, Mohammad Zaini Morshidi.-EDISI UKAS

add comment