FAMA Bantu Penduduk Di Kabong Jana Pendapatan

RABU, 13 APRIL 2022

KABONG: Penduduk di Kabong khususnya di Kampung Emplam yang mempunyai kemahiran membuat kuih, produk hasil pertanian atau sebarang idea yang boleh menjana pendapatan disarankan agar berjumpa dengan pihak Bahagian Perkhidmatan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mendapatkan maklumat yang boleh membantu mereka.

Dalam hal ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir menyambut baik pemilihan Kampung Emplam, Kabong oleh pihak FAMA kerana ia sekaligus membantu mempromosikan kawasan Kabong sebagai tumpuan pengunjung mendapatkan hasil tani yang segar, berpatutan dan berkualiti.

Beliau berucap demikian semasa Program Jelajah Ramadan FAMA Sarawak 2022 dan Majlis Berbuka Puasa di Dewan SK Kampung Emplam, Kabong pada Selasa.

Antara pengisian program kerjasama strategik FAMA dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) itu adalah Perjanjian Jual Beli (FA) Peserta Ladang Kontrak yang melibatkan 20 petani yang mengusahakan tanaman pisang tanduk.

Turut diselitkan ialah pengagihan bubur lambuk, Iftar Ramadan, Solat Maghrib dan Isyak Berjemaah, Solat Sunat Tarawih dan penyampaian sumbangan kepada 17 asnaf daripada pihak FAMA dan Bank Rakyat.

Hadir sama ialah isteri Mohd Chee, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA Abdul Rashid Bahri, Pengarah Kanan (Pemasaran Industri Makanan) FAMA Iswardi Ismail, Pengarah FAMA Negeri Sarawak Abdul Ja’afar Lian, Ketua Bank Rakyat Wilayah Sarawak Abdul Aziz Rosli, Ketua-Ketua Kaum, para peserta dan jemputan sekitar. – EDISI UKAS

add comment