Jerayawara PCDS 2030 Pelan Kerajaan Sarawak Capai Negeri Maju Tahun 2030

RABU, 13 APRIL 2022

MIRI: Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak telah mengadakan Jerayawara Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 di Hotel Pullman Miri. 

Menurut Pengarah EPU Sarawak Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, jerayawara ini telah diadakan di Miri dan Limbang serta akan dilaksanakan di seluruh bahagian di Sarawak.

“Menerusi Jerayawara PCDS 2030 ini akan memberikan pendedahan dan meningkatkan pemahaman berkenaan pelan tersebut,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa membentangkan PCDS 2030 kepada ketua-ketua jabatan di semua daerah di Miri pada Selasa. 

Tambah Datu Dr. Muhammad Abdullah lagi, terdapat enam sektor ekonomi utama sebagai pemacu pertumbuhan iaitu pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan sosial yang disokong tujuh pemboleh ubah iaitu transformasi digital, inovasi, infrastruktur asas, pengangkutan, utiliti, tenaga boleh diperbaharui dan pendidikan serta pembangunan modal insan.

Sementara itu, Pemangku Timbalan Residen Bahagian Miri Rose Edward Tarang dalam ucapan aluannya berkata, Bahagian Miri turut akan menikmati pembangunan yang pesat dalam tempoh 18 tahun akan datang selaras dengan pelaksanaan PCDS 2030.

Ini selaras untuk menjadikan Sarawak menjadi sebuah negeri yang berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2030. -EDISI UKAS

add comment