RABU, 13 APRIL 2022
LIMBANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Limbang telah melakukan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan Point Of Sales (POS) di beberapa kawasan disini pada Isnin.
Seramai empat orang pegawai terlibat dalam penugasan aktiviti ini iaitu dua orang Pegawai Penguatkuasa dan dua orang Pegawai Pemantau Harga.
Antara kawasan yang terlibat adalah kawasan Simpang Palas, Tanjong Sekolah, Tanjong, Ukong serta kawasan Lubok Asas.
KPDNHEP Limbang memaklumkan, hasil daripada pemantauan itu, setiap POS mematuhi semua undang-undang yang dikuatkuasakan oleh pihak Kementerian termasuk harga, tanda harga, alat timbang dan sukat, serta yang lain lagi.
“Daripada pemantauan, didapati setiap POS telah memperbaharui Lesen Kedai Kampung yang sah sehingga 31 Disember 2022, alat timbang sukat telah ditentusahkan dan akan tamat tempoh pada 24 Ogos 2022, serta papan tanda harga (banner) yang bertulis KPDNHEP jelas dipamerkan.
“POS juga memaklumkan ada menerima bekalan daripada transporter secara berkala untuk bulan April 2022 yang mana tarikh akhir bekalan diterima adalah pada 08 April 2022.
“Manakala, resit dan invois disimpan dengan baik untuk tujuan pemantauan dan audit serta buku stok juga telah dikemaskini.
“POS telah disediakan alat pemadam api dan stor penyimpanan CD dan LPG berada di kawasan selamat dan jauh dari kediaman.
“POS juga mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikuatkuasakan bagi pencegahan penularan wabak COVID-19,”katanya lagi.
Sementara itu, Pegawai Pemantau Harga juga mengingatkan beberapa perkara kepada Operator POS untuk terus mematuhi semua undang-undang yang dikuatkuasakan.
“Operator POS diingatkan agar membuat pesanan baharu untuk item yang kehabisan stok dengan segera, menjual barangan subsidi pada harga yang ditetapkan kerajaan, tanda harga dipamerkan dengan jelas dan tidak mengelirukan pengguna untuk semua barangan yang dijual di premis.
“Selain itu, mereka juga diingatkan sentiasa mengemaskini buku stok setiap kali urusniaga dijalankan, menyimpan dengan baik semua dokumen berkaitan terutama resit belian dan invois untuk tujuan rekod dan audit pemantauan.
“Dalam pada itu, operator POS juga perlu sentiasa mematuhi SOP yang telah dikuatkuasakan dalam mencegah penularan wabak COVID-19, menjalankan tanggungjawab sebagai POS dengan baik dan telus dan memastikan tempat penyimpanan Gas Petroleum Cecair (LPG) dan CD berada dalam keadaan yang selamat setiap masa,” jelasnya.-EDISI UKAS