Premier Sarawak Hadiri Majlis Iftar Ramadan Darul Hana 2022

RABU, 13 APRIL 2022

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menghadiri Majlis Iftar Ramadan Darul Hana 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.

Program anjuran Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) ini telah dimulakan dengan majlis berbuka puasa bersama tetamu yang hadir.

Sejurus selepas itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari telah menyampaikan Sumbangan Hari Raya kepada golongan asnaf, anak yatim dan Orang Kurang Upaya (OKU) daripada 12 buah kampung dalam kawasan projek Darul Hana.

Premier Sarawak juga telah menunaikan solat Maghrib, solat Isyak dan solat sunat terawih secara berjemaah yang diimamkan oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Pengerusi LCDA Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain dan Pengurus Besar LCDA Monaliza Zaidel.-EDISI UKAS

add comment