JUMAAT, 15 APRIL 2022
KUCHING: Kempen Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik 2022 kembali lagi kini akan diadakan di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Jalan Padungan di sini pada 22 dan 23 April 2022 jam 8:00 pagi hingga 5:00 petang.
Kali ini dianjurkan bersama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (MUDeNR), Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPLGH), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).
NREB dalam kenyataan medianya pada Khamis berkata, pelancaran kempen itu akan disempurnakan Datuk Bandar MBKS Datu Wee Hong Seng.

Objektif utama kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan komuniti setempat mengenai bahaya e-waste kepada alam sekitar dan memastikan e-waste yang terkumpul dapat dikitar semula atau dilupuskan secara selamat dan tidak mencemarkan alam sekitar.
Kempen ini juga diharap dapat menggalakkan ekonomi kitar semula (circular economy) dan barangan BEE dipulih guna (recovery).-EDISI UKAS