PBB Akan Terus Nikmati Kuota Pemimpin Masyarakat Di Kawasan Tiada Wakil Rakyat-Datuk Amar Douglas

SABTU, 16 APRIL 2022

LUBOK ANTU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan terus menikmati kuota pemimpin masyarakat di kawasan yang tidak mempunyai wakil rakyat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyeru setiap ahli PBB untuk memaklumkan beliau dan pemimpin tertinggi lain sekiranya tempoh perkhidmatan mana-mana pemimpin tersebut akan tamat.

“Sila maklumkan awal supaya kami boleh membuat persiapan sama ada untuk melantik semula atau melantik yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDM) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Balai Ringin dan Lubok Antu di Kompleks Sukan Lubok Antu pada Sabtu.

Sementara itu, mengenai persidangan perwakilan tiga tahun sekali, Datuk Amar Douglas berkata, keyakinan penuh beberapa cawangan terhadap pucuk pimpinan jelas terbukti apabila masing-masing memutuskan untuk tidak bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden pada persidangan parti yang akan datang.

“Ini juga akan mengukuhkan lagi kekuatan dan perpaduan parti yang begitu penting untuk membolehkannya mengatasi pelbagai cabaran yang dijangka akan datang pada masa hadapan,” tambah beliau lagi.-EDISI UKAS

add comment