Dato Henry Berbuka Puasa Bersama Masyarakat DUN Tasik Biru

AHAD, 17 APRIL 2022

BAU: Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Henry Harry Jinep telah meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama masyarakat setempat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru melalui Program Ziarah UKAS @ Komuniti 2022.

Program anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) itu telah disertai seramai 80 orang termasuk umat Islam dari kawasan sekitar.

Dato Henry berkata, program seumpama itu menunjukkan keharmonian yang telah dikecapi oleh rakyat di negeri ini.

“Ia menunjukkan sifat toleransi antara satu sama lain yang wujud tanpa mengira agama, kaum, dan juga perbezaan fahaman politik,” ujarnya apabila ditemui ketika menyempurnakan program tersebut di Masjid Darul Ihsan, Kampung Buso pada Sabtu.

Sementara itu, penduduk kampung yang hadir menzahirkan penghargaan serta perasaan syukur atas penganjuran program itu yang membolehkan mereka berkumpul sama dengan pemimpin tempatan serta masyarakat lain.

Antara yang hadir termasuk Penghulu Masyarakat Melayu Bau, Wahab Mainol, Ketua Kampung Buso, Sakawi Bujang, Ketua Kampung Melayu Bau, Zawawi Hamdan, Ketua Kampung Pangkalan, Zainal Mat, dan Pengerusi Masjid Darul Ihsan, Razali Tayon. -Edisi UKAS

add comment