Kerajaan Sarawak Tuntut Formula Tepat Dalam Pengagihan Hasil

SABTU, 16 APRIL 2022

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak menuntut formula yang tepat digunakan dalam pengagihan hasil kepada negeri ini seperti yang termaktub dalam Peruntukan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Kerajaan Sarawak masih belum mendapat formula yang tepat dari kerajaan persekutuan berhubung pengagihan hasil kepada negeri ini.

“Kita mahu formula yang betul tentang bagaimana jumlah itu diperolehi.

“Selagi formula ini tidak diselesaikan, kita tidak mahu menerimanya sebarangan,” katanya berucap semasa Majlis Sungkei Dengan Premier Abang Jo 2022 di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam hal ini, beliau menegaskan Kerajaan Sarawak akan meneruskan usaha menuntut haknya melalui perjanjian yang ada termasuklah Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) serta peruntukan-peruntukan yang ada.

Jelas Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari, apa yang diperjuangkan Kerajaan Sarawak adalah demi masa depan anak-anak negeri ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata Kerajaan Sarawak sentiasa komited membantu rakyat negeri ini yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 dan bencana lain termasuk pelajar dan mereka yang menetap di Semenanjung Malaysia.

Jelas beliau, setakat ini seramai 38,106 orang termasuk 21,214 pelajar yang berada di Semenanjung Malaysia telah dibantu.

Katanya, berdasarkan rekod terkini dari Disember 2021 hingga April 2022, Kerajaan Sarawak telah menyuntik peruntukan tambahan sebanyak RM2.5 juta untuk membantu rakyat Sarawak di Semenanjung.

“Dalam masa pandemik, Kerajaan Sarawak telah menghulurkan bantuan yang bernilai kira-kira RM5.8 bilion untuk membantu rakyat yang menghadapi pandemik ini melalui BKSS 1.0 hingga 8.0.

“Ini adalah satu-satunya di mana kerajaan kita prihatin dengan rakyat Sarawak khasnya yang merantau di luar Sarawak ini disebabkan penyebaran Covid-19 dan juga virus Omicron,” tambah Premier Sarawak lagi.

Dalam majlis tersebut, Premier Sarawak dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani telah menyampaikan sumbangan kepada 53 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di bawah tajaan Yayasan Sarawak dan yang belajar di Semenanjung Malaysia.

Turut disampaikan sumbangan kepada sembilan ibu tunggal, 11 anak yatim dan tiga pasangan ibu tunggal dan anak yatim.

Selain itu, Premier Sarawak turut menyampaikan sumbangan kepada tiga wakil penerima kakitangan Yayasan Sarawak di Kuala Lumpur termasuk tiga wakil kakitangan gred 19 ke bawah Pejabat Perhubungan Sarawak di Kuala Lumpur.

Premier Sarawak bersama para hadirin turut mengerjakan solat Maghrib disusuli solat Isya dan Terawih secara berjemaah.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian; Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Ahli-Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS), Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion serta dif-dif kehormat yang lain.

Majlis dianjurkan menerusi kerjasama Pejabat YAB Premier, Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur dan Yayasan Sarawak Cawangan Kuala Lumpur itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan masyarakat Sarawak di Semenanjung Malaysia selain meraikan anak-anak yatim dan ibu tunggal warga Sarawak di Lembah Klang. – EDISI UKAS

add comment