AHAD, 17 APRIL 2022
SEBUYAU: Penduduk di sekitar daerah Sebuyau berpeluang membeli barangan pada harga yang lebih rendah dengan perlanjutan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di kawasan tersebut.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi memberitahu, program itu menawarkan harga barangan dengan diskaun hingga 30 peratus.
“Sudah pasti ia akan bantu mengurangkan kos perbelanjaan penduduk setempat terutamanya sepanjang bulan Ramadan ini dan menjelang sambutan Hari Raya nanti,” katanya pada simbolik perasmian PJKM di Dewan Pembagunan Sebuyau pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berharap program tersebut dapat diteruskan lagi pada masa depan kerana merupakan langkah baik bagi membantu rakyat.
PJKM yang kali kedua diadakan di Sebuyau ini dilangsungkan dari 16 hingga 17 April 2022.
Antara barangan yang dijual termasuk beras, gandum, gula, telur, bahan kering dan juga barang basah.
Sementara itu, para pengunjung menzahirkan rasa syukur atas penganjuran program tersebut kerana mampu mengurangkan kos perbelanjaan mereka.
Turut hadir ialah Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bahagian Sri Aman, Al-Redzamani Abdul Razak, dan Pemangku Pegawai Daerah Sebuyau, Jerry Zainuddin Bidin. -Edisi UKAS