ISNIN, 18 APRIL 2022
BARAM: Penganjuran Karnival Sukan Baram (KASUBAR) yang berlangsung pada 15 dan 16 April lepas telah mendapat sambutan yang menggalakan daripada peserta.
Program anjuran Pemuda Parti Demokratik Progresif (PDP) Baram dan Exco PDP Sarawak ini adalah selaras dengan inisiatif kerajaan untuk mengetengahkan aktiviti-aktiviti kokurikulum dan riadah, serta program pembangunan komuniti belia di kawasan luar bandar.
Pertandingan kali ini menyaksikan pasukan B.A.M 1 menjadi Johan acara Sepak Takraw Piala YB Datu Dr. Penguang Manggil, Naib Johan disandang pasukan Bakong A dan tempat Ketiga disandang pasukan Sg. Laong & Sub Marine.
Manakala, bagi Pertandingan Badminton Berpasukan Piala YB Dennis Ngau pula dimenangi pasukan PBR Team A, Naib Johan Fox Sport, tempat Ketiga PBR Team B dan tempat keempat King Shuttler Baram serta pasukan Nengayet BC, KRB BC, Babui Lakin dan MBA Kaki BC masing-masing menduduki tempat kelima hingga kelapan.
Bagi acara golf kategori VIP pula, Johan dimenangi Datu Dr. Penguang Manggil, Naib Johan disandang Adam Yii Siew Sang, tempat Ketiga milik Dato’ Gerawat Gala dan tempat Keempat diduduki Datuk Nelson Balang Rining.
Sementara itu, bagi acara Golf kategori ‘vote section’ (Individu), Johan dimenangi Arthur Andrew, Naib Johan disandang Dickson Berauk dan tempat ketiga Avit Ngau.
Selain daripada itu, KASUBAR kali ini turut mendapat berita baik apabila tiga orang warga Baram iaitu Robbie Fowler Munan, Gilbert Cassidy Rawing dan Justin Immenuel Jawi Jack Nyanggau terpilih menyertai kem latihan pusat dan pemilihan akhir pasukan sepak takraw lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 Majlis Sukan Negara (MSN) 2022.
Justeru, Pemuda PDP memberikan insentif berupa wang tunai sebanyak RM500 kepada setiap seorang daripada mereka sebagai tanda dorongan dan galakan.-EDISI UKAS