SMA Dan SKMM Terus Bekerjasama Tingkat Kualiti Perkhidmatan Menara Telekomunikasi

SELASA, 19 APRIL 2022

KUCHING: Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) terus bekerja rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyedia dan meningkatkan kualiti perkhidmatan menara telekomunikasi di Sarawak.

Pengurus Besar SMA, Dr. Zaidi Razak berkata, pihaknya sedar mengenai cabaran-cabaran yang perlu dihadapi dalam menyediakan perkhidmatan menara telekomunikasi di negeri ini.

Menurutnya, menara telekomunikasi di kawasan pedalaman Sarawak turut terdedah kepada gangguan bekalan elektrik.

“Masalah tersebut akan menjejaskan rangkaian komunikasi di kawasan terbabit.

“Sebagai contoh, tanpa adanya sesebuah peranti pencetus penderiaan jarak jauh (remote sensing trigger device), penduduk tempatan hanya mendapat tahu terputusnya rangkaian komunikasi di Kapit selepas dua hingga tiga jam.

“Kami pula akan dimaklumkan sehari selepas kejadian, justeru, saya berharap agar penyedia perkhidmatan rangkaian berkaitan akan meniliti isu ini dengan lebih mendalam,’’ jelasnya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Sehubungan itu, Dr. Zaidi menyambut baik usaha pihak Maxis dalam memasang alat-alat penderia bagi memantau rangkaian kendalian syarikat tersebut di Sarawak.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat oleh rombongan dari Maxis yang diketuai Ketua Pegawai Rangkaian, Abdul Karim Fakir Ali di Pejabat SMA.

Dr. Zaidi turut menyeru pemain industri yang berkaitan seperti Celcom, Digi, dan Maxis agar mengemukakan pelan induk mereka dalam membangunkan sektor telekomunikasi di Sarawak.

“Pelan induk tersebut diperlukan bagi kita memperuntukkan tapak-tapak untuk membina menara telekomunikasi dengan mengambil kira pembangunan yang akan berlaku pada masa depan,’’ tegas beliau. -Edisi UKAS

add comment