KHAMIS, 21 APRIL 2022
SIBU: Golongan gelandangan yang menghuni di Tempat Transit Gelandangan (TTG) Sibu diseru agar memanfaatkan Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak (SRAS) yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.
Menurut Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee, melalui skim tersebut, golongan gelandangan atau mana-mana pemohon tidak perlu risau jika tidak mampu membayar sewa kerana Kerajaan Sarawak menyediakan bantuan sebanyak RM200 sebulan selama 36 bulan.
Dalam hal ini, beliau berharap pihak TTG Sibu dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dapat bekerjasama untuk membantu golongan gelandangan tersebut.
“Kementerian kami menawarkan bantuan sewa rumah. Jadi mereka (gelandangan) tidak perlu risau jika tidak dapat membayar sewa rumah kerana Kerajaan Sarawak menyediakan subsidi sebanyak RM200 selama 36 bulan.
“Jadi, saya harap pihak TTG dapat membantu mereka mencari rumah sewa agar mereka layak menikmati kemudahan ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Penghuni TTG Sibu pada Rabu.
Selain itu, beliau juga mengajak badan bukan kerajaan (NGO) di Sibu untuk datang ke TTG itu untuk berbincang perancangan program atau aktiviti untuk membantu golongan gelandangan di situ.
Pada majlis itu, Michael Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan menyumbang sebanyak RM10,000 bagi menyokong operasi TTG.
Manakala pihak Petronas telah menyumbangkan sebanyak RM3,000 kepada TTG dan sumbangan sebanyak RM2,000 telah disampaikan oleh Kapitan Connie Loh Ming Hua.
Program anjuran Pejabat Residen Sibu dan Stesen Servis Petronas Sibu itu turut diselitkan dengan penyampaian kit kebersihan kepada penghuni di TTG Sibu dan solat berjemaah. – EDISI UKAS