KHAMIS, 21 APRIL 2022
SERIAN: Ketua Kampung disaran agar mewujudkan pangkalan data yang mengumpulkan butiran penduduk di kampung masing-masing.
Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn memberitahu, hal ini adalah untuk memudahkan sebarang urusan di peringkat kampung.
“Ini secara tidak langsung turut memudahkan tadbir urus di peringkat daerah terutama sekiranya berlaku bencana atau keperluan lain yang memerlukan data penduduk pada kadar segara,’’ katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Pelanjutan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Serian Tahun 2022 di Pejabat Residen Serian pada Rabu.
Pada majlis tersebut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat telah menyerahkan sijil pelanjutan perkhidmatan kepada lapan orang KMKK.
Datuk Roland turut menyeru KMKK untuk terus berdedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab mereka yang sentiasa bertambah dan bertukar seiring dengan perubahan zaman.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Serian, Tuah Suni, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Damen Rejek, Pemangku Pegawai Daerah Tebedu, Joseph Liaw, serta Pemangku Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari. -Edisi UKAS