Masalah Kekurangan Parkir Di Hospital Bintulu Akan Dibincangkan Bersama Pengarah Hospital Bintulu dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak

JUMAAT, 22 APRIL 2022

BINTULU: Hospital Bintulu yang dibina pada tahun 1994 dan masih beroperasi sehingga kini sudah tidak dapat menampung kapasiti jumlah penduduk yang bertambah setiap tahun terutamanya melibatkan masalah kekurangan parkir dan fasiliti. 

Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian berkata, isu ini sangat sinonim dengan masyarakat di Bintulu dan berharap dapat diselesaikan bagi kemudahan penduduk. 

Untuk mengatasinya, Ahli Lembaga Pelawat Hospital Bintulu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming mengemukakan cadangan dibina 205 parkir dengan kos tambahan berjumlah RM500,000. 

“Ia adalah projek yang sangat diperlukan rakyat dengan ADUN Tanjung Batu Johnny Pang telah menyelami masalah rakyat dan mahu masalah ini diselesaikan. Tambahan 205 ruang tempat letak kereta dengan kos setengah juta. 

“Bandar Bintulu mengalami pembangunan pesat dengan industri utama untuk Sarawak dan Malaysia yang memerlukan tambahan tempat letak kereta dan fasiliti lengkap,” katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat SUPP DUN Tanjong Batu, Bintulu pada Khamis. 

Ujarnya, beliau akan berbincang dengan Pengarah Hospital Bintulu dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak berkenaan cadangan ini dan turut akan mengemukakan cadangan membina bahagian tambahan bersebelahan Hospital Bintulu atau membina hospital baharu supaya tidak terlalu bergantung kepada hospital sedia ada serta dapat menampung keperluan pakar dan umum untuk tempoh 20 tahun akan datang. 

Dalam perkembangan lain, Dato Sri Prof Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberitahu kedua-dua projek di Sungai Sebiew dan Tanjung Batu bagi mengatasi masalah banjir memerlukan kos RM6.9 juta. 

“Kami akan cuba untuk mencari dana bagi memulakan projek tersebut dengan projek ini amat penting kepada kami bagi menyelesaikan masalah banjir. 

“Ini termasuklah mengambil kira keadaan paras air laut dan penduduk di kawasan tersebut yang telah menghadapi masalah banjir lebih daripada 20 tahun,” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan terhadap usaha wakil-wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan yang selama ini dipegang pembangkang dan tiada perubahan yang dilakukan. 

Turut sama hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew dan ADUN Tanjung Batu ohnny Pang Leong Ming.-EDISI UKAS

add comment