Pengeluaran Kayu Balak Hutan Asli Meningkat 12 Peratus Pada 2021

JUMAAT, 22 APRIL 2022

KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) telah menunjukkan peningkatan dari segi pengeluaran kayu balak hutan asli sebanyak 12 peratus iaitu sebanyak 571,000 meter padu pada 2021 berbanding 511,000 meter padu tahun sebelumnya.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pengurusan PUSAKA, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, peningkatan ini menunjukkan bahawa keadaan ekonomi mulai beransur pulih walaupun telah mengalami keadaan yang tidak menentu akibat fenomena pandemik COVID-19.

“Usaha sedang dipergiatkan oleh PUSAKA untuk terus memperkasakan industri perkayuan kepada industri nilai tambah tinggi bagi mencapai unjuran nilai eksport RM8 billion pada tahun 2030.

“Bagi merealisasikan sasaran dan unjuran ini, kerajaan Sarawak memberi penekanan kepada pembangunan ladang hutan,” katanya dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Derma PUSAKA dan Anak-anak Syarikat 2022 di Wisma Sumber Alam di sini pada Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata, langkah ini boleh menjamin bekalan bahan mentah yang mampan untuk industri hiliran perkayuan tempatan.

“Justeru itu, perubahan dan anjakan untuk memproses kayu dari ladang hutan untuk menghasilkan produk nilai tambah tinggi terutama sekali engineered wood dan perabot diberi penekanan yang sewajarnya,” ujar beliau lagi.

Dalam majlis berkenaan, beliau telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM286,000 kepada 62 buah pertubuhan kebajikan, badan-badan amal, agama dan pendidikan.

Sementara itu, beliau berharap sumbangan tersebut dapat membantu dalam menjalankan aktiviti dengan lebih aktif dan berkesan terutama disalurkan kepada ahli-ahli dan orang awam yang memerlukan bantuan dan sokongan.-EDISI UKAS

add comment