Sarawak Negeri Paling Awal Ambil Berat Mengenai Intergriti Dan Ombudsman

JUMAAT, 22 APRIL 2022

PAKAN: Sarawak merupakan negeri yang paling awal mengambil berat berkaitan Integriti dan Ombudsman, jelas Timbalan Menteri Pejabat Premier Sarawak Unit Integriti Dan Ombudsman Negeri, Dato Sri Murshid Diraja Juanda Jaya.

“Sehingga sekarang satu-satunya negeri dalam Malaysia yang mempunyai kementerian khusus berkaitan integriti dan ombudsman, hanya Negeri Sarawak.

“Untuk membawa Sarawak menjadi maju pada tahun 2030, apa yang kita mahukan pada masa depan ialah bukan sahaja negeri ini maju, malah kita mahu melihat rakyatnya maju,” katanya semasa berucap dalam Program Jelajah Integriti Siri 3 Sarikei 2022 anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION) di Dewan Masyarakat Pakan Pada Jumaat.

Seramai 100 Ketua-ketua Masyarakat Pakan hadir dalam program Jelajah Integriti Siri 3 Sarikei 2022 anjuran Unit Integriti Dan Ombudsman Negeri (UNION), Jabatan Premier Sarawak di Dewan Masyarakat Pakan pada Jumaat.

Semua yang hadir telah diberikan ceramah berkaitan khusus tentang integriti dalam sektor kerajaan dan yang berkaitan.

Program tersebut bertujuan memupuk dan membudayakan nilai integriti dalam masyarakat selari dengan pembangunan Sarawak menjadi sebuah negeri maju.

Dalam pada itu, peranan Ketua Masyarakat dalam komuniti juga amat penting dalam menghubungkan rakyat dengan kerajaan.

Sehubungan itu, tugas UNION adalah menerima aduan berkaitan salahlaku yang dilakukan oleh pejabat dan penjawat awam negeri sekaligus menyiasat serta mengambil tindakan untuk memperbetulkannya.

Semasa ditemui media selepas program tersebut, beliau menyatakan keseluruhan masyarakat Sarawak terus prihatin dan menyokong apa sahaja projek dibawa kerajaan serta menjadi mata dan telinga kerajaan.

Selain itu, beliau berterima kasih kepada agensi-agensi pelaksana dan menyeru orang ramai jika ada projek yang bermasalah mohon maklum kepada pihak kerajaan melalui saluran yang disediakan agar dapat diperbetulkan.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom, Pengarah UNION Adana Jed dan Residen Bahagian Sarikei Felicia Tan Ya Hua.-EDISI UKAS

add comment