Program Badudun Ramadan Di Kampung Tabahan Kembali Meriah, Santuni Golongan Asnaf

SABTU, 23 APRIL 2022

LIMBANG: Program Badudun Ramadan 1433H/2022M yang diadakan di Surau Darul Iman, Kampung Tabahan, Limbang pada Khamis telah memeriahkan suasana Ramadan di kampung itu.

Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Daerah Limbang itu menyaksikan golongan asnaf disantuni yang mana Pemanca Abu Bakar Tinggal telah menyampaikan sumbangaan kepada mereka.

Seramai 10 orang asnaf yang terpilih daripada Kampung Benuas hingga ke Kampung Pahlawan menerima sumbangan duit raya dan bakul makanan diikuti sumbangan dari Tabung Baitulmal Sarawak Bahagian Limbang, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri (SABATI) Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Terdahulu program ini telah dimulakan dengan solat fardhu Isyak dan solat sunat Terawih serta solat Witir secara berjemaah.

Majlis diteruskan dengan Tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh wakil Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Lawas, Burhan Mahrin dan diteruskan dengan ucapan daripada Pemanca Abu Bakar.

Sejurus selepas itu, Pemanca Abu Bakar telah memaklumkan mengenai pelantikan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Pandaruan (LAKIP) dan telah menyampaikan watikah pelantikan bagi sesi 2022-2025.

Hadir sama Pegawai Daerah Limbang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Daerah Limbang, Superi Awang Said.-EDISI UKAS

add comment