AHAD, 24 APRIL 2022
SADONG JAYA: Program ‘Gambeh Sungkey’ anjuran Belia Sejati Sadong Jaya dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Batang Sadong mendapat sambutan menggalakkan dari penduduk setempat.
Dalam program tersebut, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri mengambil kesempatan menyerahkan sebanyak 1,000 pek beras masing-masing sebanyak 10 kilogram kepada penerima sumbangan golongan asnaf bagi Ramadan tahun ini.
Penyerahan tersebut disempurnakan secara simbolik kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di setiap kampung.
Dalam masa sama, Dato Sri Nancy berterima kasih kepada pihak Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) kerana telah memberi sumbangan berkenaan bagi kawasan Parlimen Batang Sadong.
Terdahulu sebelum berbuka puasa, hadirin turut mendengar ceramah Ramadan yang disampaikan oleh Pencetus Ummah (PU) Fakrul Razi dan Ustaz Abdullah Sam dari Pejabat Agama Islam Samarahan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Insfrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sadong Jaya, Ir. Aidel Lariwoo; Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Micheal Pawan; Pengurus BERNAS Sarawak, Affanddy Narani serta Pemanca Awg Azid Awg Yusuf. -EDISI UKAS