Parti PBB Tulang Belakang Kepada Kerajaan Sarawak, Perjuangkan Hak Sarawak

AHAD, 24 APRIL 2022

MIRI: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merupakan sebuah parti yang kuat dan perlu dipertahankan. 

Menurut Naib Yang Dipertua Parti PBB Sarawak Datuk Julaihi Narawi, ini kerana PBB mempunyai kekuatan tersendiri dan menjadi tulang belakang kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

“Sebagai tulang belakang kepada kerajaan hari ini, ahli PBB yang berada di seluruh Sarawak memainkan peranan yang begitu penting, penting untuk memberi sokongan memudahkan pelaksanaan pembangunan. 

“Dengan adanya pembangunan ini, usaha kita hendak menyediakan bekalan air dan elektrik serta kemudahan telekomunikasi di Sarawak dapat diadakan dengan cara yang mudah,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun Sekali PBB Cawangan DUN Senadin di Eastwood Valley Golf and Country Club Miri pada Sabtu. 

Untuk itu, disiplin dan perpaduan ini perlu dipertahankan kerana ianya menjadi asas kepada kekuatan di samping menjadikan PBB sebuah parti yang kuat pada masa akan datang.

Malah, ujarnya PBB bukan bersifat insklusif sebaliknya memperjuangkan hak untuk semua iaitu hak rakyat di seluruh Sarawak dan ini menjadi agenda utama Kerajaan Sarawak yang ditunjangi oleh PBB.

Pada masa sama, Datuk Julaihi Narawi yang juga Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak memberitahu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mahu memastikan Sarawak dilengkapi kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik. 

“Agenda penting Kerajaan Sarawak iaitu memastikan Sarawak mempunyai 100 peratus bekalan air bersih dan terawat menjelang 2025, begitu juga kemudahan elektrik dan telekomunikasi di seluruh Sarawak,” ujarnya. 

Dalam mesyuarat tersebut, penyandang sebelum Kaunselor Julaihi Mohamad yang juga merupakan Timbalan Datuk Bandar Miri telah diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua PBB Cawangan DUN Senadin.

Manakala Timbalan Ketua Cawangan telah dimenangi Abdul Samat Mohamed Ali yang turut menang tanpa bertanding dan Naib Ketua Cawangan dimenangi Cho Nyalo yang turut menang tanpa bertanding).

Pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) lain seperti Setiausaha Cawangan, Bendahari dan Ketua Penerangan juga telah dilakukan termasuklah 19 orang AJK cawangan.

Turut sama hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Dr Ripin Lamat, Ahli Parlimen Sibuti yang juga Ketua PBB Cawangan DUN Pujut Lukanisman Awang Sauni, Ketua PBB Cawangan DUN Senadin Julaihi Mohamad, Ketua PBB Cawangan Piasau Kaunselor Mohd Sardon Zainal dan Yang DIPertua Persatua Melayu Miri Radzali Alision.-EDISI UKAS

add comment