Pendidikan Awal Kanak-Kanak Penting Dalam Pembangunan Modal Insan Mampan

AHAD, 24 APRIL 2022

LUNDU: Pendidikan awal kanak-kanak merupakan kunci utama bagi merealisasikan matlamat pembangunan modal insan yang mampan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang menegaskan, ia turut penting bagi membentuk generasi yang cemerlang dan berdedikasi.

“Ibu bapa serta penjaga harus sedar berkenaan kepentingan mengembangkan pendidikan awal seseorang kanak-kanak sejak dari kelahiran hingga umur enam tahun,’’ katanya pada Majlis Penangguhan Bengkel Keibubapaan Siri 1/2022 KEMAS Parlimen Mas Gading di Dewan Serbaguna Mahligai Gading Lundu pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau berharap penganjuran bengkel itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk ibu bapa dan penjaga mendapat pengetahuan dan kemahiran sewajarnya dalam memainkan peranan masing-masing bagi membentuk akhlak anak-anak.

“Jangan kita hanya menumpu kepada pendidikan di sekolah sahaja manakala tanggungjawab ibu bapa serta penjaga dilupakan apabila anak-anak berada di rumah,’’ jelasnya.

Sementara itu, Billy menggesa para peserta agar terus menitikberatkan pengamalan norma-norma baharu terutamanya dalam kalangan kanak-kanak selaras dengan situasi kehidupan terkini selepas penularan wabak COVID-19.

Seramai 114 orang ibu bapa kepada anak-anak dari 40 buah kelas Tabika KEMAK di seluruh kawasan Parlimen Mas Gading telah hadir ke bengkel itu.

Antara pengisian utama termasuk ceramah pendidikan kesihatan pergigian serta cerama psikologi anak dan emosi.

Ia turut merangkumi pendidikan mengenai aspek-aspek seperti pembentukan kurikulum, pengurusan dan pemakanan, serta pembinaan modal insan.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani, Timbalan Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Roselind Wilson Laing, serta Penyelaras KEMAS Daerah Bau-Lundu, Josie Asin. -Edisi UKAS

add comment