STATOS Bawa Lima Pengamal Media Dari Singapura, Promosi Sarawak

AHAD, 24 APRIL 2022

KUCHING: Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) bersama lima pengamal media dari Singapura selamat tiba di Sarawak. 

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif STATOS, Putrie Rozana Soraya, lawatan ini bertujuan bagi mempromosikan Sarawak kepada Singapura sempena pembukaan sempadan Sarawak dan Singapura.

“Untuk lawatan ini adalah bersempena dengan pembukaan sempadan dan bagi saya ianya sangat penting untuk membawa media dari Singapura untuk menemukan kembali Sarawak seperti Kuching, Miri dan juga Sibu,” katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada Ahad.   

Tambah beliau lagi, STATOS telah bekerjasama dengan Scoot Airlines dalam kempen pemasaran bagi mempromosikan Kuching dan Miri secara agresif kepada pasaran Singapura.

Jelasnya, STATOS telah banyak membuat publisiti dengan kerjasama media dan agensi-agensi lain.

Dalam pada itu, beliau memberitahu mereka juga akan mencuba produk pelancongan seperti kayak dan berbasikal kerana beliau percaya ini adalah produk pelancongan baharu yang ingin mereka tekankan di Singapura.

Difahamkan, lawatan tersebut selama lima hari dan empat malam di Kuching dan pada bulan Jun nanti mereka akan bekerjasama dengan Sarawak Tourism Board untuk membuat liputan Festival Hutan Hujan. -EDISI UKAS

add comment