ISNIN, 25 April 2022
SRI AMAN: Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS) kali ini menyantuni golongan penjaja di Mini Expo Bazar Ramadan 2022 Tamu Simanggang menerusi Program Ziarah UKAS @ Komuniti.
Hampir 50 penjaja telah menyertai majlis berbuka puasa itu bersama warga UKAS yang diketuai Penyelia UKAS Bahagian Sri Aman, Zaidil Ripin.
Zaidil memberitahu, majlis tersebut diadakan untuk menyemarakkan lagi semangat para penjaja yang gigih melakukan jualan pada bulan Ramadan ini.
“Program seumpama ini julung kali diadakan untuk mengumpulkan semua penjaja di satu tempat bagi berbuka puasa di mana sebelum ini, kebanyakkan daripada mereka hanya berbuka puasa di tapak gerai masing-masing,’’ katanya ketika ditemui pada program tersebut di sini pada Sabtu.
Para penjaja yang hadir menzahirkan perasaan syukur kerana berpeluang menyertai sebuah program yang membolehkan mereka meluangkan masa bersama wakil agensi kerajaan buat pertama kali.
Terdahulu, Zaidil berkesempatan mengedar sumbangan dari UKAS kepada pengunjung Bazar Ramadan tersebut.
Selain itu, beliau menyempurnakan program cabutan bertuah berupa hamper serta barangan elektrik hasil sumbangan ihsan oleh individu dan juga ahli korporat dari sekitar Bandar Simanggang.
“Ia juga merupakan antara inisiatif Jawatankuasa Usahawan Simanggang (JUS) serta para peniaga bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Bazar Ramadan itu,’’ jelasnya lagi.
Sementara itu, Pengerusi JUS, Jamayah Mahmud mengucapkan terima kasih kepada UKAS atas kesudian menganjurkan program berbuka puasa bersama penjaja sebagai salah satu langkah untuk mendekatkan lagi penjaja kecil bersama dengan agensi kerajaan.
Turut hadir ialah Ketua Kampung Masjid Baru Sri Aman, Husaini Abu Talip. -Edisi UKAS