Peranan KMKK Terus Diperkasa Melalui Program Randau Pemimpin Bersama Masyarakat N3 Tanjong Datu

SELASA, 26 APRIL 2022

LUNDU: Peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) terus diperkasa melalui program Randau Pemimpin Bersama Masyarakat N3 Tanjong Datu (Zon Lundu) pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, antara kriteria utama bagi seorang pemimpin khususnya di dalam masyarakat adalah sifat yang tegas serta kebolehan untuk mengenalpasti masalah yang akan dihadapi oleh penduduk kampung.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program tersebut yang diadakan di Dewan Serbaguna Mahligai Gading.  

Tambahnya, beliau akan sedaya upaya untuk mendapatkan peruntukan bagi membantu penduduk di kawasan.

Antara yang akan dititikberatkan adalah penukaran atau menaiktaraf titi rumah ke rumah bagi memberi keselesaan dan juga meningkatkan keselamatan penduduk kampung.

Dalam program tersebut, seramai 70 orang peserta program yang terdiri daripada Ketua Kaum dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari 31 buah kampung dalam Zon Lundu bagi kawasan DUN N3 Tanjong Datu; termasuklah Ketua-Ketua Masyarakat bagi kawasan DUN ini.

Dalam pada itu, Azizul juga turut menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN N3 Tanjong Datu Fasa 1 kepada 16 penerima yang terdiri daripada sembilan Badan Bukan Kerajaan (NGO), tiga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan tiga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).-EDISI UKAS

add comment