Amalkan Budaya Bersedekah Di Bulan Ramadan

UKAS  > Edisi-Selatan >  Amalkan Budaya Bersedekah Di Bulan Ramadan
0 Comments

RABU, 27 APRIL 2022

SRI AMAN: Bulan Ramadan pada setiap tahun membawa berkat kepada umat Islam serta memberi pengajaran kepada mereka untuk terus mengamalkan budaya bersedekah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, masyarakat perlu sedar bahawa perasaan lapar dan dahaga pada bulan ini menggambarkan kesusahan golongan yang miskin, terpinggir, atau ditimpa bencana.

“Dalam pada itu, penganjuran aktiviti-aktiviti kebajikan seperti gotong-royong memasak bubur lambuk dan bubur pedas serta agihan sumbangan Infaq Ramadan yang telah dijalankan di kawasan seperti di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga adalah selari dengan usaha untuk membantu golongan tersebut pada bulan mulia ini,’’ jelasnya pada Majlis Ziarah UKAS @ Komuniti ‘Semarak Ramadan’ anjuran Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS) di Gelanggang Futsal Lingga di sini pada Rabu.

Sementara itu, beliau menyambut baik penganjuran program itu sebagai satu inisiatif kerajaan Sarawak melalui UKAS untuk meniliti isu-isu yang dihadapi rakyat tempatan.

“Kita juga boleh mengambil peluang ini untuk mengeratkan ukhuwah antara satu sama lain terutamanya setelah kehidupan orang ramai terjejas akibat penularan wabak COVID-19 sejak dua tahun lepas.

“Namun, walaupun negara kita kini dalam fasa peralihan endemik, saya ingin menyeru kepada semua agar sentiasa mematuhi seluruh Prosedur Operasi Standard (SOP) di samping menjaga kesihatan dan keselamatan diri,’’ tegasnya lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Pengarah UKAS, Samat Junai, Pemangku Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani, serta Temenggong Mohamad Shah Achang. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *