Guna Sebaik-Baiknya Geran Kerajaan Untuk Aktiviti JKKK Atau Projek Kecil Yang Bermanfaat – Datuk Hasbi

RABU, 27 APRIL 2022

LIMBANG: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta menggunakan Outright Grant dengan sebaik-baiknya. 

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata, ini termasuklah melaksanakan aktiviti-aktiviti JKKK atau projek kecil yang memberikan manfaat bersama kepada komuniti di kampung masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Outright Grant JKKK Kawasan Melayu di Dewan Kampung Bunga Raya, baru-baru ini. 

Pada majlis itu sebanyak RM291,000 outright grant daripada Kerajaan Persekutuan diagihkan kepada 53 JKKK kawasan Melayu dan 5 buah kelab serta persatuan di daerah Limbang. 

Datuk Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang juga menyeru setiap Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) mengingati antara satu sama lain tentang tugas dan amanah yang dipikul sebagai pemimpin.

“Sebagai pemimpin, kita mestilah memimpin ke arah pengukuhan silaturahim, perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat, elakkan perpecahan dan perbalahan sesama kita masyarakat Islam. 

“Agama Islam mengajar kita agar perpaduan dan persaudaraan sesama Islam diperkukuhkan. 

Dalam pada itu, beliau juga menggesa KMKK memainkan peranan dalam membantu menyampaikan info-info terkini dan menerangkan usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan dalam menangani isu-isu semasa yang sering dibangkitkan. -EDISI UKAS

add comment