RABU, 27 APRIL 2022
LIMBANG: Kemajuan sesebuah kampung adalah hasil daripada kualiti kepimpinan, sokongan dan nilai kerjasama seluruh penduduk kampung bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata, JKKK memainkan peranan yang penting dalam memastikan keharmonian, kestabilan dan pembangunan soioekonomi kampung.
“Penyata akaun JKKK dan setiap transaksi hendaklah dibentangkan semasa mesyuarat tahunan. Ini bagi memastikan ketelusan pengurusan kewangan JKKK.
“JKKK juga perlu mengemukakan permohonan bagi projek-projek pembangunan melalui mesyuarat yang telah diadakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Sempena Hari Keluarga anjuran JKKK Kampung Pengkalan Madang baru-baru ini.
Selain itu, Paulus juga menyeru masyarakat untuk mempunyai rasa tanggungjawab terhadap setiap infomasi yang diterima di dalam media sosial.
“Setiap info dan isu yang diterima haruslah dinilai secara bijak kesahihan serta sumbernya sebelum mempercayai dan menularkan atau berkongsi dengan rakan-rakan lain,” ujarnya lagi.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada penduduk setempat yang telah memilih Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya yang lepas.
Justeru, beliau memohon agar sokongan kepada GPS akan diteruskan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Dalam majlis itu juga, beliau telah melulus peruntukan berjumlah RM41,000 kepada JKKK untuk keperluan pembinaan beranda dewan, Persatuan Bomba Sukarela, Biro Wanita, Persatuan Bisaya Kampung Pengkalan Madang dan Kawasan Rukun Tetangga.-EDISI UKAS