Pengguna Jalan Pintas Padang Kerbau Diminta Terus Bersabar, Pembinaan & Penyelenggaraan Jalan Pan Borneo Giat Dijalankan

RABU, 27 APRIL 2022

MIRI: Pengguna Jalan Pintas Padang Kerbau diminta untuk terus bersabar sementara projek pembinaan dan penyelenggaraan Jalan Pan Borneo sedang giat dijalankan.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato’ Sri Lee Kim Shin menjelaskan, Kementerian Kerja Raya (KKR) kini sedang giat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan untuk menaik taraf Jalan Pan Borneo termasuk penutupan dan penyelenggaraan Jambatan Sungai Miri baru yang berdekatan.

“Beri sedikit masa kepada projek pembinaan tersebut. Dijangka projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan tersebut akan siap sepenuhnya dalam masa dua tiga minggu ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau tapak di jalan pintas Padang Kerbau, Miri pada Selasa setelah menerima aduan awam berhubung kesesakan teruk yang berlaku di lokasi terbabit.

Dato’ Sri Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu turut mendedahkan, satu pelan lampu isyarat baru di persimpangan Industri Eastwood juga telah dicadangkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) agar ia dapat memudahkan para pemandu melakukan pusingan-U dengan lebih dekat. -EDISI UKAS

add comment