Premier Sarawak Hadiri Majlis Khatamal Al-Quran Agensi-Agensi Islam Sarawak

JUMAAT, 29 APRIL 2022

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menghadiri Majlis Khatamal Al-Quran Agensi-Agensi Islam Sarawak di Komplek Islam Sarawak pada Jumaat.

Majlis dimulakan dengan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari membaca Al-Quran, surah Ad Duha disusuli berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Selepas itu, beliau telah menyampaikan agihan geran peruntukan Majlis Islam Sarawak tahun 2022 bagi Fasa Pertama Januari hingga Jun 2022 kepada 70 Unit Saudara Kita (USK) dari 12 bahagian di Sarawak yang berjumlah RM446,400.

Dalam majlis itu juga, Premier Sarawak juga mengagihkan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM20,000 kepada 100 orang penerima.

Majlis diakhiri dengan solat Isyak dan solat sunat Terawih serta moreh bersama jemputan.

Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abd Rahman Junaidi; Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan) Dr Ripin Lamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abd Rahman; Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Transformasi Sosio Ekonomi), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki.-EDISI UKAS

add comment