Saudara Baru Perlu Terus Pelajari Agama Islam Untuk Lebih Memahami Islam

JUMAAT, 29 APRIL 2022

LIMBANG: Saudara baru perlu terus mendalami dan mempelajari agama Islam termasuk mendirikan solat 5 waktu sehari. 

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata, untuk mendalami ilmu agama Islam ini tiada alasan tidak pandai.

Katanya, di daerah Limbang ramai ustaz atau ustazah yang boleh membimbing dan mengajar dengan apa yang penting usaha dan kemahuan dari diri sendiri.

“Tiada siapa yang boleh memaksa kita untuk belajar tetapi semua itu dari diri kita sendiri. 

“Insyallah jika kita berusaha dan terus belajar, pasti kita boleh mendirikan solat sendiri, membaca al-Quran dan sebagainya,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Kepada Saudara-Saudara Baru di Kampung Dewan Kampung Bunga Raya baru-baru ini. 

Pada majlis itu, seramai 279 Saudara Baru di sekitar Parlimen Limbang menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri. 

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang mengajak umat Islam perbanyakkan berdoa kepada Allah S.W.T dipermudahkan menghafal, mengingat dan memahami apa yang telah dipelajari tentang Islam.

Hadir sama Pemanca Abu Bakar Tinggal.-EDISI UKAS

add comment