PBB Perlu Diperkasa Untuk Terus Menyumbang Kepada Pembangunan, Kemajuan & Kemakmuran Negeri

SABTU, 30 APRIL 2022

KAPIT: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu diperkasakan lagi untuk terus menyumbang kepada pembangunan, kemajuan dan kemakmuran negeri ini.

Sehubungan itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, semua cawangan perlu terus mengambil lebih ramai lagi ahli yang terdiri daripada golongan muda.

“PBB, sejak penubuhannya pada 1973 telah berkembang dengan kuat kerana perpaduan dan disiplin ahlinya. Ini membolehkan ia menjadi tulang belakang kepada kerajaan.

“Perpaduan, disiplin dan kekuatan ini juga telah membolehkan PBB mengharungi beberapa ‘ribut’ dan ‘taufan’ yang akan datang.

“Walaubagaimanapun, kita tidak boleh berpuas hati dan parti ini perlu diperkasakan lagi di mana semua cawangan perlu terus mengambil lebih ramai ahli muda untuk terus menyumbang kepada pembangunan, kemajuan dan kemakmuran negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat perwakilan tiga tahun sekali Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) Cawangan Katibas, Bukit Goram, Baleh dan Pelagus di Pusat Sivik di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB itu turut memuji empat cabang atas keputusan mereka supaya jawatan presiden PBB dan dua timbalan presiden tidak dipertandingkan pada mesyuarat parti TDC Jun ini.

Dalam malis itu juga, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Kapit, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi yang dilantik sebagai pengerusi baharu Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) baru-baru ini bagi menggantikan mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing.-EDISI UKAS

add comment