Helmi Husin Juarai Rumah Berhias Raya 2022 Kampung Wireless

AHAD, 1 MEI 2022

MIRI: Helmi Husin telah dinobatkan sebagai juara sempena Pertandingan Rumah Berhias Raya 2022 di Kampung Wireless Miri pada Jumaat.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM800 manakala tempat kedua (RM500) dan tempat ketiga (RM300) masing-masing dimenangi oleh Fadli Junaidi dan Arif Bujang.

Pemenang tempat keempat pula mendapat wang tunai sebanyak RM200 manakala tempat kelima hingga kelapan masing-masing membawa pulang RM100.

Penaja pertandingan, Mohammad Hafidz Rohani yang Pengarah Urusan IANA Corporation Sdn. Bhd. berkata, objektif pertandingan tersebut adalah untuk menyemai semangat Keluarga Malaysia supaya perpaduan terus kukuh antara masyarakat berbilang kaum.

Selain itu, beliau turut mahu mengangkat martabat Kampung Wireless yang terletak di bandaraya Miri dengan harapan kampung tersebut terus dikekalkan dan tidak ketinggalan dalam aktiviti pembangunan.

Pertandingan itu telah menarik ramai pengunjung dari luar yang antaranya termasuk seorang ‘Youtuber’ terkenal di bahagian Miri.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Penasihat Kek Lapis Sarawak Siti Payung; Pn Siti Jaharah Matassan, dan Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Kampung Wireless; Sarbeni Japar. -EDISI UKAS

add comment