Sentiasa Memandu Secara Berhemah Terutama Pada Musim Perayaan

AHAD, 1 MEI 2022

MIRI: Pengguna jalan raya dinasihatkan agar memandu dengan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas terutamanya semasa musim perayaan.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, isu nahas jalan raya bukanlah perkara yang baharu, justeru, ia perlu dielakkan.

“Kenderaan akan bertambah menjelang musim perayaan dan ini tentu akan meningkatkan risiko berlakunya kemalangan.

“Dalam pada itu, saya ingin mengingatkan pemandu jalan raya agar lebih berhati-hati supaya mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” ujarnya ketika menyempurnakan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Stesen Bas Morsjaya di sini pada Jumaat.

Beliau turut meminta pihak Jabatan Kerja Raya dan juga kontraktor yang berkaitan agar memasang isyarat keselamatan khususnya apabila kerja-kerja pembinaan jalan raya sedang dijalankan.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menyambut baik pelaksanaan kempen tersebut bagi memberi kesedaran kepada orang awam tentang kepentingan menjaga keselamatan di jalan raya.

Ia dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Jalan Raya Bahagian Miri dengan kerjasama Sarawak Shell Berhad dan Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS)

Pada program itu, Dato Sri Lee bersama Ketua Polis Daerah (KPD) Miri, ACP Alexson Naga Chabu menyempurnakan simbolik penyerahan topi keledar, pengagihan risalah keselamatan jalan raya serta pengagihan bubur lambuk kepada pemandu kenderaan dan motosikal yang melalui stesen bas itu.

Hadir sama ialah Pemangku Timbalan Residen Bahagian Miri; Puan Rose Edward Tarang, serta Pemangku Ketua Seksyen Perancangan dan Pembangunan Sosial Pejabat Residen Bahagian Miri; Puan Nora Shafia Binti Muhiyuddin. -EDISI UKAS

add comment