Kementerian Pengangkutan Sarawak Bincang Cadangan Atasi Kenaikan Tambang, Pemberian Lesen Kepada Bot-Bot Kecil Sungai

ISNIN, 2 MEI 2022

LIMBANG: Pada musim perayaan ini, keselamatan penumpang menjadi keutamaan untuk memastikan setiap penumpang sampai ke destinasi dan menyambut meraikan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dengan gembira. 

Timbalan Menteri Pengangkutan II Sarawak (Sungai & Laut) Dato Henry@Harry Jinep berkata, untuk itu Kementerian Pengangkutan Sarawak bersama Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dan agensi lain seperti Polis Marin, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Laut, Jabatan Kastam, Pejabat Residen dan pengusaha bot ekspress mengadakan Kempen Kesedaran Keselamatan Di Sungai Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2022 bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin. 

Katanya, kempen ini bertujuan memberikan kesedaran kepada penumpang dan juga pengusaha bot supaya keselamatan dan kebersihan bot diutamakan.  

“Kita tidak mahu sampah dibuang sesuka hati ke dalam sungai, itu yang pertama.

“Keduanya, dalam bot itu sendiri perlu ada keselamatan dan kebersihan untuk keselesaan semua penumpang,” katanya semasa ditemui selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Di Sungai Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2022 di Terminal Penumpang Limbang Limbang pada Sabtu. 

Dalam pada itu, ujar Dato Henry lagi, pihaknya juga telah mengadakan perjumpaan dengan pengusaha bot ekspress bagi membincangkan tindakan susulan yang boleh dilakukan dalam menangani kenaikan harga tambang akibat kenaikan harga minyak. 

“Kita telah berbincang dengan pihak Marin, Lembaga Sungai-Sungai, KPDNHEP dan pengusaha bot ekspress untuk menghantar permohonan agar dapat dipertimbangkan untuk pemberian subsidi minyak. 

“Jika tiada subsidi mereka akan mengenakan tambang yang lebih tinggi kepada penumpang dan ini pastinya akan membebankan pengguna,” ujarnya. 

Beliau turut memaklumkan telah berhubung dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi bagi mempertimbangkan kemudahan subsidi supaya dapat diberikan kepada pengusaha bot ekspress di Bahagian Limbang.

Keputusan ini perlu dibuat segera supaya penumpang dari Limbang ke Lawas, Labuan, Sundar dan sebagainya tidak perlu membayar tambang yang lebih tinggi berikutan kenaikan harga minyak.

Turut dibincangkan, pencarian kaedah terbaik bagi memberi permit atau lesen pengangkutan kepada bot-bot kecil di sungai ini untuk beroperasi yang boleh digunakan untuk memohon insurans sekiranya berlaku sesuatu insiden di sungai. 

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus@Palu Gumbang, Pengerusi Lembaga Sungai-sungai Sarawak Dr Murni Suhaili, Pemangku Controller Lembaga Sungai-sungai Sarawak Ltl. Col Ding Tiew Wong, Ketua Polis Daerah Limbang Parum Niot dan wakil Residen Bahagian Limbang Cherylynna Leeza Roland.-EDISI UKAS

add comment