Pesta Jualan Meriahkan Suasana Kampung Pesa

ISNIN, 2 MEI 2022

SERIAN: Suasana hari minggu di Kampung Pesa dimeriahkan dengan aktiviti jual beli pelbagai barangan menerusi Pesta Jualan Biro Wanita Kampung Pesa.

Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn memberitahu, pesta jualan itu yang dianjurkan buat julung kali telah mendapat sambutan memberangsangkan daripada penduduk setempat.

“Sebanyak 20 gerai jualan telah dibuka di mana pelbagai jenis produk tempatan boleh didapati seperti sayur-sayuran serta kraftangan,’’ katanya ketika melawat ke pesta tersebut di Dewan Kampung Pesa di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat mengucapkan tahniah kepada Biro Wanita Kampung Pesa kerana telah menjayakan penganjuran pesta jualan itu.

Datuk Roland turut berkesempatan melawat ke gerai-gerai yang ada serta membeli barangan untuk keperluan sendiri.

Antara yang turut hadir ialah Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Damen Rejek, Ketua Kampung Pesa, Johny Sinyam, Presiden Persatuan Bisapug, Nico Paduk, serta Pengerusi Biro Wanita Kampung Pesa, Manyad Tohip. -Edisi UKAS

add comment