Ziarah UKAS Medium Solidariti Perpaduan Sarawak

ISNIN, 2 MEI 2022

MIRI: Penganjuran Ziarah UKAS merupakan medium bagi merapatkan solidariti perpaduan pelbagai kaum dan etnik di bumi Sarawak.

Program ini diteruskan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin bertempat di perkarangan pusat beli-belah Permy, Miri pada Sabtu.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Seri Lee Kim Shin ketika ditemui berkata, program ini merupakan satu platform terbaik untuk mendekati rakyat

“Melalui program seperti ini, kita dapat memperoleh maklumat hingga ke peringkat akar umbi tentang masalah dan keadaan kehidupan rakyat supaya boleh diketengahkan dan mendapat perhatian daripada pihak berkaitan.

“Daripada program seperti ini juga kita dapat berkongsi kegembiraan serta mengeratkan hubungan antara masyarakat atau komuniti di samping memeriahkan lagi suasana bulan puasa ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu juga turut mengagihkan 500 beg kecil yang mengandungi bubur lambuk, kurma, pek makanan kepada masyarakat sekeliling.

Program tersebut turut dihadiri Kapitan Ngieng Hock Diing dan Penghulu Nasir Rahim.-EDISI UKAS

add comment