SELASA, 3 MEI 2022
LAWAS: Orang ramai perlu memanfaatkan Jualan Keluarga Malaysia yang menawarkan potongan harga sehingga 20 peratus bagi barangan terpilih khususnya barangan keperluan harian.
Ini merupakan kali ke-5 Jualan Keluarga Malaysia diadakan di daerah Lawas dan pada kali ini diadakan khusus sebagai menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Perkara ini telah dimaklumkan Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato’ Henry Sum Agong ketika merasmikan Jualan Keluarga Malaysia di Perkarangan Parking Hui Huang Cold Storage Trading, Jalan Gaya Lawas pada Sabtu.
Ujarnya lagi, penglibatan sektor swasta dalam Jualan Keluarga Malaysia sangat dihargai dalam membantu masyarakat memperoleh barangan keperluan dengan harga murah memandangkan harga makanan kini semakin meningkat.
Hadir sama Ketua Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Lawas dan Pengurus Hui Huang Cold Storage Trading.-EDISI UKAS