SELASA, 3 MEI 2022
KUCHING: Kepelbagaian etnik Sarawak terus mewarnai sambutan Hari Kedua Aidilfitri tahun ini menerusi Program Rumah Terbuka Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Hotel Pullman di sini pada Selasa.
Kesukaran menyambut Hari Raya Aidilfitri sejak dua tahun lepas susulan penularan wabak COVID-19 jelas menyemarakkan semangat teruja orang awam apabila kelihatan mereka daripada pelbagai kaum dan agama mula memenuhi hotel tersebut sejak jam 9 pagi.
Majlis itu bermula dengan Premier Sarawak menyambut dif-dif kehormat yang termasuk Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Sarawak, serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion.
Turut hadir ialah Ahli-Ahli Parlimen, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Setiausaha-setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, serta ketua-ketua jabatan.
Sementara itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari mula menyambut kedatangan orang awam sekitar jam 10.18 pagi.
Isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang pula turut serta menyambut tetamu sekitar 10.50 pagi.
Manakala, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib berkenan menyantuni rumah terbuka itu pada sebelah petang.
Dalam suasana kemeriahan, sambutan rumah terbuka itu tidak lupa akan pematuhan penuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Seorang pengunjung, Duin Kuni, 53, merakamkan kesyukuran kerana dapat terus menghadiri Program Rumah Terbuka Premier Sarawak itu.
Beliau yang berasal dari Kampung Pengkalan Kuap, Kota Samarahan menyatakan kesanggupan untuk hadir walaupun datang dari kawasan jauh demi memberi sokongan kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari yang telah banyak berjasa kepada Sarawak.
“Selepas dua tahun, akhirnya kita dapat kembali menyambut perayaan secara besar-besaran dan saling mengunjungi.
“Ini sememangnya perkara yang menggembirakan semua rakyat Malaysia,” ujarnya. -Edisi UKAS