Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Sibuti Meriah, Dikunjungi Masyarakat Pelbagai Lapisan

RABU, 4 MEI 2022

MIRI: Rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini amat dinantikan oleh pelbagai lapisan masyarakat selepas dua tahun tidak diadakan susulan penularan COVID-19 di seluruh dunia.

Menerusi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) sambutan Aidilfitri yang diberikan tahun ini, Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni turut tidak melepaskan peluang menganjurkan rumah terbuka.

Dianggarkan kira-kira 1,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri rumah terbuka Ahli Parlimen Sibuti itu di kediamannya di sini pada Selasa.

Para pengunjung mulai membanjiri pekarangan kediaman beliau pada jam 9 pagi untuk sama-sama memeriahkan rumah terbuka Aidilfitri tersebut.

Pelbagai juadah raya dihidangkan kepada para tetamu yang hadir.

Sementara itu, Lukanisman memberitahu, penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri merupakan salah satu platform untuk mengeratkan hubungan wakil rakyat dengan masyarakat pelbagai bangsa, agama dan latar belakang budaya.

Jelas beliau, ia sekaligus mendekatkan diri dengan masyarakat di Parlimen Sibuti, amnya dan berkongsi kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Bagaimanapun, SOP tetap diberi perhatian dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19. -EDISI UKAS

add comment