KHAMIS, 5 MEI 2022
KUCHING: Tempoh permohonan geran padanan bagi tujuan pembaikan kepada hotel bajet telah dilanjutkan sehingga 15 Jun depan.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dalam satu kenyataan baru-baru ini memberitahu, permohonan tersebut pada awalnya dibuka dari 1 April hingga 30 April lepas kepada semua pengusaha hotel bajet yang telah diberikan penggredan 1,2 dan 3 Orkid di bawah kementerian itu.
“Kerajaan telah memperuntukkan RM30 juta melalui Bajet 2022 bagi pemberian Geran Padanan Bagi Tujuan Pembaikan Inap Desa (Homestay) dan Geran Padanan Bagi Tujuan Pembaikan Kepada Hotel Bajet di bawah MOTAC,” katanya.
Sehubungan itu, MOTAC menyeru semua pengusaha hotel yang layak agar segera mengemukakan permohonan bagi geran tersebut.
“Pemberian geran ini diharapkan dapat membantu pengusaha hotel untuk terus kekal berdaya saing bagi mempromosikan premis-premis mereka serta menarik lebih ramai pelancong,” jelasnya lagi.
Maklumat lanjut seperti garis panduan dan borang permohonan boleh didapati di laman web rasmi MOTAC di www.motac.gov.my/geranpadanan. -Edisi UKAS