Seramai 56 Pelajar Dari DUN Simunjan Terima Sumbangan Zakat Bank Rakyat

JUMAAT, 6 MEI 2022

SIMUNJAN: Seramai 56 orang pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan menerima sumbangan zakat pada Jumaat.

Penyerahan sumbangan zakat daripada Bank Rakyat itu telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri.

Berucap ringkas dalam majlis penyerahan sumbangan zakat Bank Rakyat bagi Parlimen Batang Sadong untuk kawasan DUN Simunjan di Rumah Rehat Sri Simunjan, beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berharap sumbangan tersebut dapat membantu meringankan beban para pelajar yang kurang berkemampuan.

Katanya, para pelajar yang dipilih menerima sumbangan zakat itu adalah terdiri daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak Bank Rakyat Cawangan Matang kerana membantu pelajar di Batang Sadong khususnya di DUN Simunjan dengan memberikan sumbangan kepada golongan asnaf.

Hadir sama dalam majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Pemangku Pegawai Daerah Simunjan, Zainap Halip dan Pengurus Bank Rakyat Cawangan Matang Jaya, Sharvina Sarbini. -EDISI UKAS

add comment