ISNIN, 9 MEI 2022
LAWAS: Kawasan Daerah Kecil Sundar akan terus dibangunkan dengan kemudahan awam demi memastikan pembangunannya turut dinikmati penduduk khususnya di luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Kerajaan Sarawak merancang membina dewan baru dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) di Kampung Aru ini.
“Kemudahan awam ini akan membolehkan masyarakat terlibat dalam industri berkaitan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk.
“Ini termasuklah penyukatan kampung tradisional. Begitu juga penyukatan tanah sudah banyak dibuat secara perimeter atau penyukatan secara individu kita akan terus laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Kesyukuran dan Ramah Tamah Aidilfitri di perkarangan Masjid Kampung Aru Sundar pada Sabtu.
Ujar Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari lagi, bekalan air di kawasan ini dan juga kemudahan masjid akan ditingkatkan untuk kemudahan yang lebih baik lagi.
Tambah beliau lagi, Lapangan Terbang Lawas baharu juga akan dibina di antara Sundar dan Punang dengan mengambil kira perancangan pembangunan secara keseluruhan.
Turut hadir Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Pemangku Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Zainal Abidin Dato Pengiran Jawa, PenghuluHantin Nordin, Pengerusi Pengelola Majlis Kesyukuran dan Ramah Tamah Aidilfitri Mirat Jair dan Pengerusi Bersama Majlis Kesyukuran dan Ramah Tamah Aidilfitri Reduan Ali. -EDISI UKAS