Kerajaan Sarawak Terokai Penggunaan SAF Bagi Industri Penerbangan

ISNIN, 9 MEI 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang menerokai penggunaan Bahan Bakar Penerbangan Mampan atau Sustainable Aviation Fuel (SAF) dalam usaha meneruskan Agenda Tenaga Hijau negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, SAF akan dikaji kesesuaiannya bagi menghasilkan bahan bakar penerbangan yang seterusnya akan menyumbang kepada penurunan kadar pelepasan karbon melebihi 80 peratus.

“Sumber bahan bakar penerbangan alternatif seperti SAF mampu menjadi kunci kepada aktiviti penerbangan secara mampan, sekaligus menyumbang kepada strategi mengurangkan pelepasan serta matlamat pelepasan sifar bersih bagi industri tersebut,’’ katanya.

Beliau menjelaskan demikian dalam ucaptamanya pada Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Sedunia 2022 di Rotterdam, Belanda pada Isnin.

Premier Sarawak menambah, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) kini bekerjasama dengan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) dalam penghasilan bahan bakar bio, hidrogen hijau dan juga sel bahan bakar untuk industri penerbangan.

“Dengan kemajuan terkini dalam penghasilan sel bahan bakar hidrogen untuk industri itu terutamanya bagi penggunaan teknologi dron, saya jangka bahawa tidak lama lagi, sel bahan bakar hidrogen juga boleh digunakan untuk pengoperasian helikopter yang menggunakan sumber hidrogen,’’ ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, kerajaan Sarawak ingin bekerjasama dengan pemain industri penerbangan dan juga industri maritim sebagai usaha merancak dan meningkatkan potensi pembangunan bahan bakar bio – SAF, E – Methanol, serta sel bakar hidrogen.

Antara yang turut mengiringi Premier Sarawak pada sidang kemuncak tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni, serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak. -Edisi UKAS

add comment