Kuching & Miri Marathon 2022 Berlangsung Pada Oktober & November Depan

ISNIN, 9 MEI 2022

KUCHING: Setelah dua tahun tidak diadakan susulan penularan wabak COVID-19, acara Kuching Marathon dan Miri Marathon kini bakal dianjurkan semula pada Oktober dan November depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, dengan adanya aktiviti seumpamanya, ia bakal merancakkan lagi pelaksanaan aktiviti-aktiviti sihat di sini.

“Ini sekaligus akan menarik minat pelancong dari luar Sarawak untuk menyertai serta mengenali budaya , makanan tempatan dan juga tempat-tempat menarik di sini.

“Dengan pembukaan sempadan negara, saya juga berharap kedua-dua acara ini akan menarik lebih ramai lagi pelari marathon pada kali ini,” jelasnya pada mengadakan Sidang Media dan Majlis Pelancaran Kuching dan Miri Marathon di Bangunan Baitulmakmur II di sini pada Isnin.

Ujarnya, pihak penganjur turut mensasarkan penyertaan seramai 10,000 peserta dalam Edisi Ke-7 Kuching Marathon yang akan berlangsung pada 2 Oktober 2022 di Padang Merdeka manakala sasaran untuk marathon di Taman Bulatan Miri pada 6 November 2022 pula adalah sekitar 7,000 orang.

“Sebanyak 4 Kategori akan dipertandingkan pada Kuching Marathon iaitu ‘Kuching Marathon Full Marathon’, ‘Kuching Half Marathon’, ‘Larian 10 Kilometer (km)’ dan ‘Larian 5km’.

“Di Miri pula, sebanyak tiga kategori akan dipertandingkan,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim berharap agar program tersebut mampu menarik minat masyarakat tempatan dan luar Sarawak untuk terus mebudayakan gaya hidup sihat serta merancakkan lagi pembangunan sektor pelancongan di negeri ini.

Maklumat lanjut berkenaan kedua-dua acara boleh didapati melalui laman web rasmi di www.marathonkuching.com dan www.marathonmiri.com. -EDISI UKAS

add comment