Seorang Arkitek Di Kuching Rugi RM121,000, Mangsa Sindiket Macau Scam

SELASA, 10 MEI 2022

KUCHING: Seorang arkitek di sebuah syarikat swasta di sini mengalami kerugian sebanyak RM121,000 selepas disyaki menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, berdasarkan laporan, lelaki yang berusia 35 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Mohd Rizuan dari Mahkamah Langkawi pada 1 Mac lalu.

Menurutnya, suspek kemudian mendakwa mangsa telah terlibat dalam satu kes pengubahan wang haram tetapi dinafikan oleh mangsa.

“Panggilan telefon tersebut kemudian telah disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai Sarjan Farah dari Balai Polis Langkawi.

“Suspek seterusnya  mendakwa akan membantu mangsa membuat laporan penafian serta meminta bayaran untuk audit dan siasatan bahawa wang pengadu bukan wang haram kepada Jabatan Audit Negara,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Dato’ Mohd Azman menambah,  kemudian mangsa telah dihubungi beberapa nombor telefon yang mengarahkan mangsa membuat bayaran ke beberapa akaun bank bagi tujuan tersebut.

Katanya, mangsa telah melakukan 11 transaksi pemindahan wang keseluruhan berjumlah RM121,000 ke empat akaun bank atas nama individu berlainan di antara 1 Mac 2022 sehingga 12 April lepas.

“Mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah nombor-nombor telefon tersebut gagal dihubungi sebelum membuat laporan polis,” jelasnya lagi.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai agat dapat mengawal diri dan tidak mudah panik atau merasa cemas sekiranya menerima panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali yang mendakwa diri dari mana-mana jabatan kerajaan,institusi kewangan dan sebagainya.

Tegasnya, orang ramai juga diingatkan agar tidak memberi maklumat perbankan dan maklumat peribadi kepada mana-mana individu yang tidak dikenali.

“Orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan akaun bank suspek melalui Check Scammers CCID atau melalui laman web http://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat transaksi kewangan.

“Orang ramai juga boleh berhubung dengan CCID Scam Response Center melalui talian 03-2610 1559/ 03-2610 1599 dan 013-211 1222 (whatsapp/sms) atau layari Commercial Crime Investigation Department bagi mendapat nasihat atau menyalurkan maklumat berhubung kes-kes jenayah dalam talian,” tambahnya lagi. -EDISI UKAS

add comment