Solidariti Rakyat Sarawak Bantu Atasi Wabak COVID-19

SELASA, 10 MEI 2022

KUCHING: Kerjasama dan semangat solidariti rakyat Sarawak dalam mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) telah membolehkan negeri ini terus mengatasi penularan wabak COVID-19 dan memasuki fasa peralihan ke endemik.

Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian memberitahu, Sarawak merupakan antara negeri yang mempunyai jumlah kes kematian yang paling kurang di Malaysia.

“Ini adalah disebabkan beberapa faktor yang antaranya termasuk kadar vaksinasi COVID-19 yang tinggi dalam kalangan rakyat Sarawak,” ujarnya ketika ditemui media pada program ‘Traditional Lighting For Wesak Day 2022’ di Jalan Padungan di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan Sarawak menjelaskan, pengambilan vaksin itu penting bagi membina imuniti terhadap virus tersebut.

“Berdasarkan statistik yang diterima, Sarawak mempunyai kira-kira 320,000 orang yang layak menerima dos penggalak kedua vaksin COVID-19, namun, jumlah yang telah menerima adalah kurang daripada 2,000 orang.

“Dalam pada itu, saya menyeru semua rakyat yang layak agar tampil ke hadapan dan mendapatkan dos penggalak kedua vaksin COVID-19 untuk terus melindungi diri sendiri,’’ tegasnya.

“Bagi pemberian vaksin kepada kanak-kanak dalam lingkungan 5 hingga 11 tahun pula, saya amat teruja untuk memberitahu bahawa kadar vaksinasi melalui program PICKids telah mencapai kadar kira-kira 91 peratus,’’ tambahnya lagi.

Timbalan Premier Sarawak itu turut menggesa ibu bapa agar terus memantau dan menjaga kesihatan anak-anak mereka terutamanya golongan berumur 5 tahun ke bawah yang masih belum dapat menerima vaksin tersebut.

Sementara itu, Dato Sri Prof. Dr. Sim berkata, pemakaian pakaian tradisional ke atas patung kucing di Jalan Padungan itu adalah satu inisiatif terkemuka yang dibuat pada setiap musim perayaan.

“Ia melambangkan semangat toleransi dan perpaduan antara rakyat Sarawak berbilang kaum dan agama di sini,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) atas peruntukan yang diberi untuk menghiasi patung tersebut serta kawasan sekitarnya bersempena dengan sambutan Hari Wesak tahun ini.

Turut hadir ialah Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan, Hilmi Othman, Pengarah UNIFOR, Richard Lon, serta Presiden Persatuan Buddha Malaysia Cawangan Sarawak, Tay Chin Kin. -Edisi UKAS

add comment