Enam Suspek Ditahan Dalam Op Bugil, Polis Nasihat Orang Ramai Waspada

RABU, 11 MEI 2022

KUCHING: Empat kes membabitkan ugutan penyebaran video bogel berjaya ditumpaskan polis selepas enam suspek ditahan dalam Op Bugil di sekitar Kuching dan Serian, baru-baru ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, mereka yang ditahan adalah enam lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun di mana dua daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan kes penyalahgunaan dadah.

“Semakan rekod lampau terhadap enam suspek mendapati dua daripadanya mempunyai rekod berkaitan kes penyalahgunaan dadah.

“Kesan daripada kejadian ini mangsa akan mengalami tekanan perasaan dan malu kerana tercalar maruah diri, akibat daripada ugutan penyebaran gambar dan video bogel tersebut,” katanya dalam sidang media Op Bugil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini pada Rabu.

Jelasnya, modus operandi digunakan sindiket ini adalah dengan mengumpan mangsa kebiasaannya lelaki berusia antara 18 tahun hingga 47 tahun untuk melakukan panggilan video melalui aplikasi MiChat, Facebook, WeChat dan juga Whatsapp.

“Sindiket akan membuat panggilan video kepada mangsa dan mempamerkan aksi lucah dengan memperdayakan mangsa untuk melakukan adegan lucah,

“Pada masa sama, sindiket akan merakam aksi tersebut tanpa disedari dan mengugut mangsa akan menyebarkan aksi yang dirakam tersebut dan memaksa mangsa untuk membuat pembayaran sejumlah wang ke dalam akaun bank yang diberikan oleh sindiket.

“Akaun bank yang diberikan merupakan akaun milik pihak ketiga yang digunakan oleh sindiket,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, pihak polis telah menerima sebanyak 29 laporan polis dan melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM114,730 pada tahun 2021.

Manakala pada tahun 2022 pula sebanyak enam laporan polis dengan jumlah kerugian sebanyak RM22,200.

Oleh itu, pihak polis menyarankan agar orang ramai perlu berwaspada apabila berkenalan dengan kenalan baru di media sosial.

Orang ramai juga dinasihatkan agar menggunakan platform media sosial dengan lebih bijak agar tidak mudah diperdaya dengan sindiket penipuan.-EDISI UKAS

add comment