RABU, 11 MEI 2022
LAWAS: Mangsa-mangsa yang terjejas akibat kejadian banjir kilat yang berlaku di Kampung Long Sukang pada Selasa telah menerima bantuan bakul bantuan untuk meringankan sedikit beban mereka.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Peterus Lasung yang mewakili Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas, Dato’ Henry Sum Agong.
Terdahulu, beliau bersama rombongan dari Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lawas serta Ahli Jawatankuasa Induk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ba’kelalan telah berkunjung pada hari yang sama ke kampung tersebut untuk meninjau keadaan persekitaran setelah keadaan air mulai surut.
Untuk rekod, kejadian banjir kilat itu telah menyebabkan kerosakan serta kemusnahan kepada kawasan dalaman rumah serta di persekitaran termasuk kebun dan sawah padi.
Semua mangsa menzahirkan penghargaan kepada Dato’ Henry atas keprihatinan beliau dalam menghulurkan bantuan tersebut.
Mereka turut menaruh harapan agar agensi-agensi berkaitan dapat menghulurkan sumbangan lain untuk terus meringankan beban yang dihadapi. -EDISI UKAS