Tingkatkan Kesedaran Awam Berkenaan Kepentingan Melestarikan Alam Di Kawasan Bandar

RABU, 11 MEI 2022

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah menganjurkan Program Penanaman Pokok bersempena dengan ‘World Tree Planting Day’ di Taman Botani Sarawak (TBS) di sini pada Rabu. 

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi selepas menyempurnakan program tersebut berkata, ia merupakan inisiatif DBKU untuk memelihara dan memulihara pokok-pokok hutan di samping menggalakkan penyertaan orang ramai bagi tujuan melestari serta mengindahkan kawasan sekitar bandaraya Kuching.

“Pelbagai spesis flora dan fauna telah ditanam di taman botani ini sejak hampir 12 tahun lepas yang terdiri daripada pokok-pokok yang terdapat di seluruh Sarawak dan juga tanaman lain. 

“Jadi pada hari ini, kita memulakan inisiatif untuk meningkatkan tanaman pokok-pokok yang bertahan lama di kawasan botani ini untuk mengindahkan lagi suasana di sekitar,” ujarnya.

Beliau menambah, ia menjadi harapan DBKU agar program seumpamanya dapat meningkatkan lagi kesedaran awam akan pentingnya mengekalkan kehijauan di kawasan bandaraya.

Antara objektif pembangunan TBS ini adalah sebagai penempatan koleksi tanaman ‘endigenous’ yang terdapat di Borneo dan juga sebagai pusat pembelajaran, penyelidikan serta pusat riadah untuk warga awam. 

Untuk rekod, sebanyak 50 batang pokok yang terdiri daripada 4 spesis telah ditanam di sekitar Taman Botani itu yang antaranya termasuk pokok belian, pokok kapur, pokok gaharu, dan pokok ara.

Turut hadir sama ialah Datuk Bandar Kuching Utara; Datu Junaidi Reduan, dan Pengarah DBKU; Mohamed Khaidir Abang. – EDISI UKAS

add comment